AGENDA

Tun Abdullah diberi istiadat Pengebumian Negara

15 Apr 2025, 12:00 AM
Tun Abdullah diberi istiadat Pengebumian Negara

KUALA LUMPUR, 15 ARIL: Jenazah Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi akan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara.

Menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan jenazah akan dibawa ke Masjid Negara pada 8 pagi dan orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir di Dewan Solat Utama, Masjid Negara bermula 11 pagi hingga 1 tengah hari.

"Jenazah akan disembahyangkan selepas solat zuhur di Masjid Negara dan seterusnya dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur," menurut kenyataan itu di sini, malam tadi.

Menurut JPM pakaian bagi pelawat lelaki Islam adalah baju kebangsaan berwarna hitam, bersamping hitam tanpa sebarang corak serta bersongkok hitam dan ‘lounge suit’ gelap bagi bukan Islam.

Pakaian bagi pelawat wanita Islam pula adalah baju kurung/kebaya labuh warna gelap dengan selendang/tudung putih manakala bagi bukan Islam pakaian sopan warna gelap dan berselendang putih.

"Selain itu, pakaian lain yang bersesuaian juga boleh dipakai," menurut JPM.

JPM juga memaklumkan bahawa semua bangunan di dalam jarak radius dua kilometer daripada Masjid Negara hendaklah mengibarkan Jalur Gemilang separuh tiang sehingga selesai istiadat pengebumian.

Abdullah menghembuskan nafas terakhirnya semalam pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pada pukul 7.10 malam.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619