ad
BERITA UTAMA

1,000 sukarelawan terlibat bersih kawasan terjejas hujung minggu ini

9 Apr 2025, 1:00 PM
1,000 sukarelawan terlibat bersih kawasan terjejas hujung minggu ini
1,000 sukarelawan terlibat bersih kawasan terjejas hujung minggu ini

SHAH ALAM, 9 APRIL: Seramai 1,000 sukarelawan dijangka terlibat dalam proses pembersihan dan gotong-royong di kawasan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights hujung minggu ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri sedang menyusun gerak kerja bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan setiap kediaman terjejas dapat dibersihkan.

"Sabtu dan Ahad minggu ini akan ada sesi pembersihan dan gotong-royong melibatkan jumlah sukarelawan yang ramai terdiri Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) serta Team Selangor dan Sukarelawan Selangor (SERVE).

"Mungkin ia membabitkan 1,000 sukarelawan dan usaha pembersihan akan dijalankan sebaiknya di lokaliti terlibat supaya dapat beri keselesaan mangsa untuk pulang ke kediaman khususnya 270 yang disahkan selamat," katanya pada sidang media khas di Dewan Annexe hari ini.

[caption id="attachment_695720" align="alignnone" width="828"] Sukarelawan Team Selangor melakukan pembersihan di kawasan perumahan yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada 5 April 2025. Foto Team Selangor[/caption]

Jelas Amirudin lagi, mereka yang ingin membantu digalakkan mendaftar dengan pasukan SERVE supaya semua sukarelawan dapat diurus dan tidak berlakunya kesesakan yang akan membebankan penduduk.

Sukarelawan yang ingin terlibat bersama boleh mendaftar melalui pautan https://bitly.cx/0uE0r

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata satu jalan yang terletak 30 meter dari insiden letupan dikelola Majlis Bandaraya Subang Jaya, ditutup bagi memudahkan proses siasatan dijalankan.

"Jalan ini ditutup kerana didapati merentangi kawasan berhampiran antara lot pembinaan dan Taman Putra Harmoni... selama ini memang tidak digunakan tetapi untuk proses siasatan kita terus tutup.

"Ini bertujuan memudahkan polis dan pasukan teknikal membuat cerapan data sekali gus mengetahui punca insiden tersebut termasuk pihak yang bertanggungjawab dengan masalah ini," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.