BERITA UTAMA

EXCO: Elak lambakan barangan tidak perlu, rujuk PPS sebelum hantar bantuan

3 Apr 2025, 1:03 AM
EXCO: Elak lambakan barangan tidak perlu, rujuk PPS sebelum hantar bantuan

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Individu perseorangan dan badan bukan kerajaan (NGO) dinasihatkan supaya merujuk terlebih dahulu dengan pengurus pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights, Subang Jaya sebelum menghantar bantuan kepada mangsa yang berlindung di lokasi berkenaan.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari berkata hal ini bagi mengelakkan daripada berlakunya lambakan barangan yang tidak diperlukan.

“Mana-mana NGO lebih baik rujuk terlebih dahulu berbanding hantar barang yang mungkin tidak diperlukan kepada penerima bantuan. Disebabkan PPS berada dalam bidang kuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), agensi itu akan mengkoordinasi bantuan yang diterima,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada wanita dan kanak-kanak di PPS berkenaan hari ini.

Beliau berkata sumbangan yang diterima di PPS itu cukup untuk menampung keperluan mangsa bagi tempoh sehingga empat hari.

“Ketika ini penerimaan bantuan pakaian terpakai dihentikan buat sementara waktu memandangkan jumlah tinggi yang diterima,” katanya.

Anfaal berkata pihaknya juga akan mengerahkan agensi kerajaan negeri iaitu Wanita Berdaya Selangor (WBS) untuk membantu memastikan penyusunan barangan bantuan agar lebih teratur.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619