ad
AGENDA

Sultan seru umat Islam laksana amanah dengan jujur, puji pengurusan TH

27 Mac 2025, 12:48 AM
Sultan seru umat Islam laksana amanah dengan jujur, puji pengurusan TH
Sultan seru umat Islam laksana amanah dengan jujur, puji pengurusan TH

SHAH ALAM, 27 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru dan merayu umat Islam sentiasa mengingati hukuman Allah jika gagal melaksanakan amanah dengan jujur dan berintegriti.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah ia berikutan laporan berita seperti kes kecurian dan penyelewengan tabung masjid, duit anak yatim dan kutipan zakat masih lagi kedengaran.

“Di peringkat lebih besar, penipuan syarikat pelancongan tanpa lesen yang mengendalikan pakej haji dan umrah sering dilaporkan. Mereka memperolehi keuntungan besar atas kesusahan umat Islam lain.

“Kenapa semua ini harus berlaku dalam masyarakat Islam? Kenapa perlu diseleweng dan dicuri duit milik orang Islam? Tidakkah mereka ada sedikit simpati kepada mangsa yang ditipu?” titah Baginda.

Baginda bertitah pada majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Raja Bendahara Tengku Badar Shah, Denai Alam, semalam, yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

[caption id="attachment_693417" align="aligncenter" width="698"] Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan titah perasmian Masjid Raja Bendahara Tengku Badar Shah, Denai Alam, Shah Alam pada 26 Mac 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin mengingatkan umat Islam mempelajari dan memanfaatkan segala sumber maklumat serta komunikasi bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Titah Baginda, bakal jemaah haji dan umrah juga perlu memastikan pengendali pakej haji dan umrah adalah pengendali sah yang memiliki dilesen dan diiktiraf Lembaga Tabung Haji (TH).

Dalam pada itu, Sultan Selangor memuji pengurusan TH yang diterajui profesional dan berpengalaman sehingga berupaya mengagihkan dividen terbaik dalam tempoh tujuh tahun kepada pendeposit.

“Beta berharap pengurusan dan pimpinan tertinggi TH hendaklah terus bebas dari penglibatan orang politik. Beta berdoa TH kekal sebagai sebuah institusi dan syarikat Islam yang berjaya.

“Selain itu, TH dapat terus membantu umat Islam untuk mengerjakan haji dan umrah disamping dapat memberikan pulangan dividen yang menguntungkan kepada para pendeposit,” titah Baginda.

Pada 21 Mac lalu, TH mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024, tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.