ad
BERITA UTAMA

MBDK pantau ketat isu sampah haram, pasang 507 CCTV di kawasan panas

22 Mac 2025, 12:00 PM
MBDK pantau ketat isu sampah haram, pasang 507 CCTV di kawasan panas
MBDK pantau ketat isu sampah haram, pasang 507 CCTV di kawasan panas

SHAH ALAM, 22 MAC: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) memperketat pemantauan dengan memasang 507 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas bagi mencegah pembuangan sampah haram.

Datuk Bandar Klang Datuk Abd Hamid Hussain berkata alatan itu strategi berkesan untuk menghalang aktiviti mencurigakan, selain memastikan pihak terlibat dikenakan tindakan, lapor The Star.

"Pihak luar membuang bertan-tan sampah pukal di jalan sunyi, lorong belakang, dan kawasan terpencil dalam kawasan pentadbiran MBDK. Kita perlu lebih tegas menangani isu ini," katanya.

[caption id="attachment_688437" align="alignleft" width="399"] Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain berucap merasmikan Taman Sentosa yang dinaiktaraf kepada Bandar Sentosa pada 22 Februari 2025. Foto Majlis Bandaraya Diraja Klang[/caption]

Beliau yang ditemui pada majlis berbuka puasa bersama kakitangan MBDK menambah sisa binaan, perabot rosak, dan sisa industri antara sampah yang dibuang secara haram.

Justeru, Abd Hamid menegaskan tiba masanya untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menangani isu berkenaan secara tuntas, termasuk menangkap pihak bertanggungjawab.

"Tiba masanya untuk mempertingkat penggunaan CCTV bagi menangkap individu tidak bertanggungjawab yang mencemarkan imej Klang," katanya lagi.

Tahun lalu, MBDK mengeluarkan 393 kompaun bawah Undang-Undang Kecil Pengumpulan, Pelupusan, dan Pengurusan Sisa 4, berjumlah RM223,750 dalam bentuk denda.

Pada Januari dan Februari tahun ini, sebanyak 62 kompaun dikeluarkan bagi kes pembuangan sampah haram dengan jumlah denda sebanyak RM14,200.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.