AGENDA

Nurul Izzah terus menyinar, pecah rekod kebangsaan acara pecut

15 Mac 2025, 11:50 AM
Nurul Izzah terus menyinar, pecah rekod kebangsaan acara pecut

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Ratu berbasikal trek negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri terus menyinar apabila sekali lagi melebur rekod kebangsaan miliknya sendiri dengan catatan 10.578 saat (s) dalam acara pecut individu di Kejohanan Piala Negara-Negara di Konya, Turkiye hari ini.

Pada pusingan kelayakan yang berlangsung di Velodrom Konya, atlet berusia 22 tahun itu memadam rekod 10.658s yang diciptanya pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 di Nilai bulan lepas.

Beliau menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-18 hari ini sekali gus melayakkan pelumba kelahiran Sungai Petani, Kedah itu mara ke pusingan 1/16 sebelum menewaskan pelumba dari Republik Czech Veronika Jabornikova.

Nurul Izzah bagaimanapun kempunan tempat di suku akhir apabila dikecewakan Mina Sato dari Jepun pada pusingan 1/8.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara Nur Alyssa Mohd Farid kecundang seawal pusingan kelayakan selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-33 dengan masa 10.909s.

Bagi acara keirin lelaki pula menyaksikan Muhammad Shah Firdaus Sahrom melangkah ke pusingan kedua selepas menamatkan kedudukan pertama dengan 9.662s dalam perlumbaan (heat) 3 manakala Muhammad Fadhil Mohd Zonis menamatkan saingan di kedudukan keempat dalam perlumbaan 4.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619