AGENDA

Kejohanan Basikal Trek Asia, Malaysia sasar tiga pingat

17 Feb 2025, 9:13 AM
Kejohanan Basikal Trek Asia, Malaysia sasar tiga pingat

NILAI, 17 FEB: Skuad Malaysia meletakkan sasaran sederhana tiga pingat untuk Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 yang akan berlangsung di Velodrom Nasional di sini bermula 21-27 Feb ini.

Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan Harnizam Basri berkata peluang pingat itu disandarkan bagi acara pecut berpasukan lelaki dan wanita serta keirin wanita menerusi Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

“Secara realistik, saya hanya letak sasaran tiga pingat sahaja tanpa menyasarkan warna,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman hos penyiaran rasmi bagi ACT di sini hari ini.

Jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang tidak menyertai kejohanan itu, manakala jumlah acara yang bakal disertai oleh Muhammad Shah Firdaus Sahrom pula belum diputuskan.

“Shah Firdaus mengalami kecederaan lutut dua minggu lepas dan kami baharu mendapat keputusan MRI (pengimejan resonans magnetik) hari ini. Kita lega beliau tidak perlu mengambil suntikan (untuk pemulihan kecederaan itu), tetapi kena buat keputusan berapa banyak acara yang beliau akan sertai.

“Kami akan mengadakan perbincangan selepas ini jika beliau akan beraksi dalam acara keirin sahaja atau turut sertai pecut individu. Beliau juga mahu beraksi di ACT untuk menjaga kedudukan rankingnya di 10 teratas dunia, walaupun perlu bergelut dengan kesakitan ketika perlumbaan,” katanya.

Muhammad Shah Firdaus disenaraikan bersama Muhammad Fadhil Mohammad Zonis untuk acara keirin lelaki dan akan beraksi di pecut individu bersama adiknya Muhammad Ridwan, manakala Muhammad Fadhil dan Muhammad Ridwan akan berganding dengan pelumba muda Mohd Akmal Nazimi Jusena bagi pecut berpasukan.

Harnizam berkata Jepun yang dijangka hadir dengan pasukan terkuatnya bakal menjadi cabaran utama buat skuad negara, manakala China dijangka menghantar muka baharu bagi saingan kali ini.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill yakin kehadiran penyokong untuk menyaksikan aksi terbaik berbasikal trek benua ini tidak akan berkurangan dengan ketiadaan pemenang dua pingat Olimpik Mohd Azizulhasni.

"Saya rasa penonton akan hadir memberikan sokongan kerana Datuk Azizulhasni sendiri meminta mereka datang menerusi media sosial dan kemungkinan beliau sendiri akan hadir. Penonton juga harus memberikan dorongan kepada pelumba meningkat naik dan harapan masa depan,” katanya.

Pada edisi tahun lepas yang berlangsung di New Delhi, India, skuad negara meraih dua emas menerusi Nurul Izzah Izzati (keirin & 500 meter ujian masa wanita), dua perak dan satu gangsa untuk berada di tempat ketiga keseluruhan di belakang Jepun dan China.

Ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada edisi 2023 di Nilai, skuad negara meraih tiga emas menerusi Mohd Azizulhasni (keirin, pecut) dan Muhammad Fadhil (1 kilometer ujian masa), selain sebutir perak dan dua gangsa.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619