ad
AGENDA

Juwairiya pertahan jawatan timbalan ketua wanita KEADILAN, tumpu tarik golongan muda

14 Mac 2025, 4:58 AM
Juwairiya pertahan jawatan timbalan ketua wanita KEADILAN, tumpu tarik golongan muda
Juwairiya pertahan jawatan timbalan ketua wanita KEADILAN, tumpu tarik golongan muda

SHAH ALAM, 14 MAC: Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Juwairiya Zulkifli akan mempertahankan jawatan disandangnya pada pemilihan parti Mei depan.

Beliau berkata tumpuan diteruskan untuk memperkukuh akar umbi sayap wanita termasuk menambah bilangan ahli sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum dan negeri akan datang.

"Jumlah rekrut anggota wanita KEADILAN agak perlahan, perkara ini akan saya beri keutamaan terutama menarik golongan muda menyertai sayap parti. Usaha memperkukuh akar umbi mesti diteruskan,” katanya kepada Media Selangor.

[caption id="attachment_691453" align="alignleft" width="346"] Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Juwairiya Zulkifli bergambar bersama peserta program Srikandi Madani di Bandar Tun Razak pada 22 Februari 2025. Foto Facebook Juwairiya Zulkifli[/caption]

Mengulas dakwaan sayap wanita lesu di bawah kepimpinan Fadhlina Sidek, beliau berkata setiap individu mempunyai corak tersendiri dan tidak adil untuk membandingkan dengan pemimpin terdahulu.

“Pelbagai aktiviti dan program dianjurkan termasuk di peringkat akar umbi di bawah kepimpinan sekarang selaras kedudukan KEADILAN menerajui Kerajaan Perpaduan.

“Jadi, tidak adil untuk membuat perbandingan. Setiap kepimpinan ada rentaknya tersendiri namun aktiviti parti tetap berjalan,” katanya

Sebelum ini Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail mengumumkan akan merebut jawatan ketua wanita KEADILAN.

Beliau berkata terdapat permintaan dalam kalangan ahli akar umbi untuk memimpin sayap wanita yang didakwa semakin lesu dan perlu diberi nafas baharu.

Pemilihan peringkat cabang dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 20 April depan manakala pemilihan pucuk pimpinan pusat pada 24 Mei.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.