BERITA UTAMA

EXCO: 76,000 khinzir dijangkiti wabak dilupus sebelum akhir bulan ini

11 Mac 2025, 7:12 AM
EXCO: 76,000 khinzir dijangkiti wabak dilupus sebelum akhir bulan ini

SHAH ALAM, 11 MAC: Sebanyak 76,000 ekor khinzir yang dijangkiti penyakit demam khinzir Afrika (ASF) akan dilupuskan sebelum akhir bulan ini, kata EXCO pertanian.

Dato’ Ir Izham Hashim berkata penghapusan dan pelupusan itu melibatkan ternakan di 56 ladang di Kuala Langat dan Sepang.

“Hasil pemeriksaan dijalankan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor setakat 25 Februari lalu mendapati ternakan di 56 daripada 114 ladang khinzir dijangkiti penyakit tersebut dan selebihnya negatif.

“Kerja-kerja penghapusan dan pelupusan diteruskan walaupun pada bulan Ramadan dan kita sasar semua 76,000 ekor khinzir dilupuskan sebelum 31 Mac ini.

“Bagi ternakan yang tidak dijangkiti penyakit ini, pemindahan masih dibenarkan untuk tujuan penyembelihan di rumah penyembelihan dilesenkan,” katanya menerusi kenyataan.

Baru-baru ini, Izham memaklumkan tiga ladang khinzir di negeri ini disita selepas haiwan itu dijangkiti penyakit ASF selepas menerima aduan berkenaan wabak itu pada 22 Januari lalu.

Katanya, ladang berkenaan membabitkan dua di Sungai Blankan, Sepang dan satu di Kampung Tumbuk, Tanjong Sepat.

Sementara itu, beliau memaklumkan sebanyak 68 khinzir dianggarkan seberat 9,405.7 kilogram karkas khinzir telah disita melibatkan pelbagai kesalahan termasuklah di bawah Seksyen 34 dan Seksyen 36 Akta Binatang 1953.

“Kesemua nilai rampasan dianggarkan dengan nilai sebanyak RM472,900. Sebanyak tujuh kertas siasatan dibuka dan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat setelah siasatan lengkap,” katanya.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619