Oleh Danial Dzulkifly
KUALA LUMPUR, 6 MAC: Selangor berbincang dengan syarikat pereka cip, Arm, untuk melatih pelajar Akademi Semikonduktor Termaju Malaysia (Asem) bagi sektor reka bentuk litar bersepadu (IC).
Turut melibatkan Kementerian Ekonomi dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata ia bagi mengintegrasi program latihan itu dalam Taman Reka Bentuk IC Selangor.
“Terdapat 60 pelajar yang kini menjalani kursus peningkatan kemahiran di Taman Reka Bentuk IC Selangor, dan kami berharap kerjasama dengan Arm akan meningkatkan latihan mereka.
"(Selain itu), ia bagi mempercepat pertumbuhan industri semikonduktor negara,” katanya ditemui pada majlis menandatangani perjanjian antara Malaysia dan Arm di Hotel Shangri-La, semalam.
[caption id="attachment_656452" align="aligncenter" width="729"] Menteri Ekonomi Rafizi Ramli (kanan) bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani plak perasmian pada Majlis pelancaran Taman reka bentuk litar bersepadu (IC) semikonduktor di Menara 4, Pusat Korporat Kewangan Puchong (PFCC), Puchong pada 6 Ogos 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI[/caption]
Seramai 60 pelatih Asem turut menghadiri majlis tersebut, selain Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Yong Kai Ping.
Pada masa sama, Sze Han menyifatkan kerjasama Arm-Malaysia bakal mengubah sektor semikonduktor negara, terutama dalam reka bentuk IC, yang juga bidang utama rantaian bekalan global.
Jelasnya, Selangor menjadi rumah kepada beberapa syarikat pemula semikonduktor, dengan dijangka lebih banyak lagi bakal menyertai Taman Reka Bentuk IC 2 di Cyberjaya.
“Ini adalah platform yang sangat baik untuk syarikat reka bentuk IC berkembang dan berjaya dalam industri ini,” katanya lagi.
Malaysia memeterai kerjasama strategik dengan Arm bagi memajukan industri semikonduktor negara, dengan tumpuan kepada reka bentuk IC, kecerdasan buatan dan pembuatan semikonduktor lanjutan.
Asem, yang sebelum ini dikenali sebagai Al Nusantara, melancarkan dua inisiatif latihan utama — Program Kecemerlangan Semikonduktor Kebangsaan dan Program Pertukaran Semikonduktor Global.
[caption id="attachment_690173" align="aligncenter" width="781"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Peluncuran Kerjasama Strategik Arm Limited di Kuala Lumpur pada 5 Mac 2025. Foto AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri[/caption]
Ia bagi melengkapkan pelajar universiti, graduan baharu dan profesional dengan kemahiran dalam reka bentuk cip, ujian dan pengesahan.
Sementara itu, Taman Reka Bentuk IC pertama Selangor di Puchong berjaya menarik pelaburan dan pembiayaan sebanyak RM2.6 bilion, menjadikannya hab syarikat pemula semikonduktor.
Pertumbuhannya yang pesat mendorong Sidec untuk membangunkan fasa kedua di Cyberjaya dengan kerjasama Cyberview, yang dijangka dilancarkan tahun ini.