SHAH ALAM, 1 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan program kitar semula dengan mengutip minyak masak terpakai di bazar Ramadan terpilih.
MBSA memaklumkan program dengan kerjasama Fathopes Energy dan Malaysia Palm Oil Board diadakan di tiga bazar Ramadan bermula jam 4 petang hingga 7 petang.
“Jom kitar semula minyak masak terpakai anda dan dapatkan bayaran tunai RM3 untuk satu kilogram,” katanya menerusi Facebook.
Menurut MBSA, bazar Ramadan yang terlibat adalah di Seksyen 28 pada setiap Selasa, Seksyen 17 (Rabu) dan Stadium Seksyen 13 (Khamis).
Untuk rekod, MBSA mula aktif menjalankan kutipan minyak masak terpakai melalui lantikan kontraktor kutipan minyak masak sejak 2007.
MBSA menerusi Jabatan Kebersihan Awam dan Kelestarian Sisa kemudiannya membangunkan 16 pusat kitar semula komuniti bagi memudahkan pengurusan sisa pepejal yang efektif.