ad
AGENDA

Putrajaya, Microsoft kerjasama sasar latih 800,000 bakat AI

24 Feb 2025, 7:51 AM
Putrajaya, Microsoft kerjasama sasar latih 800,000 bakat AI

SHAH ALAM, 24 FEB: Sebanyak 800,000 bakat dalam Kecerdasan Buatan (AI) akan dilatih menerusi kerjasama Kementerian Digital dengan Microsoft bagi latihan semula dan peningkatan kemahiran tenaga kerja sedia ada.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata kerjasama melalui Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) itu antara langkah pembangunan bakat digital negara bagi mendepani cabaran masa depan.

Tambahnya, kementerian juga melalui MyDIGITAL Corporation menjalin kerjasama strategik dengan 42Malaysia, sebuah institusi pengkodan percuma dan inovatif bagi membangunkan bakat digital dengan menyediakan persekitaran pembelajaran rakan sebaya yang unik.

Jelas beliau, program pembelajaran berasaskan projek dan menekankan kemahiran penting menguasai ekonomi digital seperti kemahiran berfikir secara kritis, penyelesaian masalah dan jalinan kerjasama itu, menyasarkan 650 peserta mengikutinya, tahun ini.

“42Malaysia dijangka memberi dampak besar terhadap landskap digital Malaysia dengan melahirkan pengamal digital profesional berkemahiran tinggi dan sedia industri. Sejak 2021 sehingga 2024, 250 graduan dilatih dan mendapat pekerjaan dalam beberapa sektor utama termasuk perkhidmatan teknologi maklumat (IT), fintech dan automotif/logistik.

“Sebanyak dua kampus telah diwujudkan di bawah 42Malaysia, iaitu Kuala Lumpur (42KL) pada 2021 dan Iskandar Puteri (42IP) pada September 2024, manakala, kampus baharu di Pulau Pinang, 42PG pada April tahun ini.

“42KL merupakan kampus pertama ditubuhkan di Asia Tenggara dengan jalinan kerjasama bersama lebih 25 penggiat industri,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan (PN-Kulim Bandar Baharu) Roslan Hashim mengenai penekanan terhadap aspek pembangunan landskap bakat digital di Malaysia.

Menurut Gobind lagi, Kementerian Digital melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melatih 1,663 pekerja dalam bidang AI menerusi program MD Workforce Training.

“Antara syarikat pembekal latihan terlibat adalah seperti Amazon Web Services (AWS), Google dan Microsoft selain program Premier Digital Tech Institution (PDTI) yang melatih 277 pelajar dengan menggunakan modul daripada AWS,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.