AGENDA

Program kesedaran AI agenda utama Kementerian Digital tahun ini

4 Jan 2025, 12:30 PM
Program kesedaran AI agenda utama Kementerian Digital tahun ini

CYBERJAYA, 4 JAN: Program kesedaran tentang kecerdasan buatan (AI) akan menjadi agenda utama Kementerian Digital tahun ini bagi memastikan rakyat mendapat manfaat terbaik daripada penggunaan teknologi digital yang berkembang pesat.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata program kesedaran yang akan digerakkan menerusi Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) turut menekankan aspek keselamatan siber.

“Kita semua tahu kuasa teknologi adalah sangat penting untuk memastikan anak-anak kita sedar berkaitan dengan apa sebenarnya kuasa teknologi dan bagaimana ia boleh memanfaatkan kehidupan kita.

“Satu daripada aspek yang kita lihat adalah untuk bagaimana kita boleh pastikan bahawa bergerak ke depan, kita dapat memberi maklumat terperinci kepada masyarakat berkenaan dengan apa sebenarnya teknologi AI ini dan bagaimana ia boleh membantu kita dalam kehidupan harian,” katanya kepada media selepas Majlis Penutupan ICT Peringkat Kebangsaan Sekolah-sekolah Tamil, di sini hari ini.

Beliau berkata kementeriannya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk melaksanakan program kesedaran AI dalam kalangan pelajar termasuk memastikan infrastruktur yang lengkap tersedia di institut pendidikan bagi memastikan proses pembelajaran berkaitan teknologi AI berjalan lancar.

“Saya lihat Kementerian Digital boleh menjadi pengantara bagi institut pelajaran dan kerajaan, bagaimana kita boleh mewujudkan infrastruktur yang diperlukan di institut, sekolah, universiti dan bagaimana kita dapat bekerjasama untuk memastikan bahawa kita dapat mewujudkan satu negara yang celik digital,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619