AGENDA

Tentera Israel perhebat serangan di utara Tebing Barat

24 Feb 2025, 1:32 AM
Tentera Israel perhebat serangan di utara Tebing Barat

RAMALLAH, 23 FEB: Pasukan pendudukan Israel telah memperhebat serangan di utara Tebing Barat dengan mengerahkan kereta kebal di sekitar bandar Jenin buat kali pertama sejak serangan mereka di wilayah itu pada 2002.

Perkembangan itu menandakan peningkatan ketara dalam operasi ketenteraan yang berterusan di kawasan berkenaan, lapor agensi berita rasmi Palestin (WAFA).

Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel Israel Katz dalam kenyataan kepada media Israel pagi ini mengesahkan bahawa arahan telah dikeluarkan supaya tentera bersiap sedia untuk tinggal lebih lama di kem pelarian, menggantung operasi Agensi Kerja dan Bantuan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) serta menghalang penduduk daripada kembali ke kediaman mereka.

Sejak permulaan serangan Israel di utara Tebing Barat, lebih 40,000 rakyat Palestin telah dipindahkan secara paksa dari kem pelarian Jenin, Tulkarm, Nour Shams dan Al-Far’a.

Serangan Israel ke atas Jenin dan kem pelariannya kini memasuki hari ke-34, mengakibatkan sekurang-kurangnya 27 kematian, puluhan kecederaan, lebih 160 tahanan dan kemusnahan yang meluas, termasuk perobohan sepenuhnya kira-kira 120 rumah dan kemusnahan sebahagian daripada banyak lagi kediaman lain.

Infrastruktur di kawasan itu turut mengalami kerosakan teruk.

Hari ini, tentera Israel memperluas serangan mereka ke bandar Qabatiya, selatan Jenin, dengan mengerahkan kenderaan tentera dan jentolak tambahan. Mereka memulakan operasi menggeledah rumah sambil memusnahkan jalan raya, talian elektrik, paip air dan kenderaan awam.

- BERNAMA-WAFA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619