AGENDA

Dakwaan tipu program pelaburan didalangi datuk, polis buka 15 kertas siasatan

23 Feb 2025, 3:38 PM
Dakwaan tipu program pelaburan didalangi datuk, polis buka 15 kertas siasatan

KUALA LUMPUR, 23 FEB:Polis membuka 15 kertas siasatan membabitkan nilai kerugian RM638,205 berhubung kes penipuan program pelaburan saham yang didalangi individu bergelar "Datuk".

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata dalam tempoh 19 Jan hingga Khamis lepas, pihaknya menerima 32 laporan membabitkan kes berkenaan yang melibatkan sebuah syarikat dengan kerugian lebih RM1.3 juta.

Beliau berkata siasatan awal mendapati syarikat terbabit ditubuhkan pada 24 Feb 2022 dan memiliki dua pengarah syarikat termasuk "Datuk" berkenaan yang dilantik sebagai pengarah syarikat pada 10 Mei 2022.

“Semua kertas siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan tipu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ramli berkata semakan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati syarikat terbabit mempunyai modal berbayar RM6.9 juta dan 179 pemegang saham membabitkan 175 individu dan empat syarikat.

“Daripada 15 kertas siasatan dibuka,11 mangsanya berdaftar sebagai pemegang saham,” katanya.

Semalam, media melaporkan 65 individu tampil membuat aduan kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) kerana ditipu individu bergelar "Datuk" berhubung pelaburan saham membabitkan kerugian kira-kira RM2.5 juta.

Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata syarikat serta individu terbabit disyaki menawarkan program pelaburan saham biasa kepada pelabur awam tanpa sebarang prospektus dikeluarkan oleh pihak syarikat.

"Syarikat individu berpengaruh itu dikatakan menawarkan program pelaburan biasa (pre-IPO) yang disifatkan meragukan dan tidak melakukan sebarang aktiviti pelaburan seperti dimaklumkan kepada mangsa,” katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619