Peniaga rugi hampir setengah juta akibat penipuan tawaran kerja sambilan

21 Dis 2025, 6:39 AM
Peniaga rugi hampir setengah juta akibat penipuan tawaran kerja sambilan

KUANTAN, 21 DIS: Seorang peniaga lelaki tempatan kerugian hampir setengah juta ringgit dipercayai akibat penipuan tawaran kerja sambilan yang dipromosikan melalui Facebook, Ogos lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa berusia 61 tahun itu telah dihubungi individu menyamar sebagai wakil platform e-dagang sebelum diberikan satu pautan palsu untuk mendaftar sebagai penjual.

Beliau berkata mangsa kemudiannya diarahkan menjalankan aktiviti kerja sambilan dengan memilih beberapa jenis produk yang kononnya boleh dijual ke pasaran Eropah.

“Mangsa dimaklumkan bahawa kos barangan perlu ditanggung terlebih dahulu dan akan menerima komisen keuntungan sebanyak 30 peratus bagi setiap produk yang berjaya dihantar kepada pelanggan.

“Lelaki itu seterusnya telah membuat beberapa transaksi pembayaran ke akaun suspek bagi tujuan pembelian barangan berjumlah lebih RM505,000 menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan simpanan peribadi,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Yahaya berkata pada peringkat awal mangsa menerima keuntungan lebih RM8,303 melalui tiga transaksi, sekali gus meyakinkan lelaki itu untuk membuat pembayaran seterusnya.

Namun, mangsa kemudiannya diminta membuat bayaran tambahan secara berterusan kononnya bagi tujuan yuran serta melengkapkan proses pelepasan dana sebelum keuntungan boleh diterima.

“Selepas bayaran dibuat, keuntungan seterusnya gagal diterima selain dana yang dijanjikan tidak dilepaskan dan mangsa akhirnya mengesyaki telah diperdaya serta mengalami kerugian RM496,000," katanya.

Beliau berkata mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619