ad
BERITA UTAMA

SUKMA 2026: Cadangan anjur e-sukan dibawa dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi

22 Feb 2025, 1:30 PM
SUKMA 2026: Cadangan anjur e-sukan dibawa dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi
SUKMA 2026: Cadangan anjur e-sukan dibawa dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi

SHAH ALAM, 22 FEB: Cadangan untuk mempertandingkan e-sukan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor pada tahun depan akan dibawa dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi pada 26 Februari ini.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata Selangor berhasrat mengembangkan sukan tersebut di peringkat akar umbi dan melahirkan ramai bakat untuk mewakili negara pada masa depan.

"Mesyuarat jawatankuasa tertinggi SUKMA akan dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh selain turut disertai EXCO sukan setiap negeri.

“Selaku penganjur SUKMA edisi ke-22, Selangor sedang pertimbang untuk menambah e-sukan supaya dipertanding dalam SUKMA akan datang kerana ia bukan sukan teras,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Selangor Future Cup 2025 di pusat beli-belah AEON Shah Alam di sini, hari ini. Pertandingan tersebut dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Selangor Future Cup 2025 yang berlangsung hingga esok menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM200,000. Selain itu, Akademi Todak turut menawarkan kepada pemenang biasiswa pengajian pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) hingga peringkat diploma berjumlah RM160,000.

[caption id="attachment_688314" align="aligncenter" width="700"] EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi ketika sidang media selepas majlis perasmian Selangor Future Cup 2025 di Aeon Shah Alam pada 22 Februari 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

Mengenai proses ubah suai Hotel Carlton di Seksyen 13 sebagai Gedung E-Sports Selangor, Mohd Najwan berkata perbincangan bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan diadakan dalam masa terdekat.

“Kita akan teliti kaedah hendak membangunkan premis itu sebagai hab sukan yang bukan sahaja menjadi tempat pertandingan tetapi juga pusat aksesori perisian sukan. Lokasi sudah ada cuma kos dan siapa yang kendalikan memerlukan perbincangan lanjut,” ujarnya.

Dato’ Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2025 mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk mengubah suai bekas Hotel Carlton di Seksyen 13 di sini, sebagai gedung e-sukan.

Beliau berkata inisiatif berkenaan memberi peluang kepada negeri menjadi tuan rumah pertandingan e-sukan di peringkat Asean dan antarabangsa.

Pada Julai tahun lalu, Selangor Red Giants (SRG) menamatkan kemarau tujuh tahun Malaysia untuk menjuarai aksi antarabangsa e-sukan selepas menewaskan Filipina Falcons AP Bren Sport 4-3 dalam kejohanan Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 di Amazon Arena Riyadh, Arab Saudi.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menyifatkan kemenangan pasukan SRG dalam kejohanan MLBB di Arab Saudi sebagai kejayaan luar biasa dan pencapaian bersejarah.

 

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.