Oleh Ufairah Tarmidzi
SHAH ALAM, 22 FEB: Lelaki yang ditahan selepas disyaki mencabul kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali, Hulu Selangor, semalam direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 28 Februari.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.
Sebelum itu suspek yang berpakaian lokap polis tiba di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada jam 10.35 pagi dengan kenderaan polis.
Pagi semalam, tular di media sosial insiden cubaan merogol kanak-kanak perempuan dalam ruang solat jemaah wanita di Masjid Jamek Sungai Masin, Batang Kali sekitar waktu solat Subuh.
Ketika kejadian, mangsa sedang menunaikan solat bersendirian di saf belakang ruang solat wanita di masjid itu.
Ibu mangsa yang juga pengadu memaklumkan membawa dua anaknya ke masjid untuk menunaikan solat subuh, tetapi hanya mangsa bersembahyang di bahagian belakang.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim semalam berkata pihaknya menahan lelaki berumur 19 tahun bagi membantu siasatan selepas menerima laporan berhubung kejadian pada 8.19 pagi.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.