BERITA UTAMA

Seramai 14,300 pekerja industri aeroangkasa bertapak di Selangor, sasar hab serantau

21 Feb 2025, 7:10 AM
Seramai 14,300 pekerja industri aeroangkasa bertapak di Selangor, sasar hab serantau

SHAH ALAM, 21 FEB: Hampir separuh jumlah tenaga kerja aeroangkasa di Malaysia bertapak di Selangor sekali gus menjadi penyumbang utama pekerjaan industri berkenaan.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata jumlah itu melibatkan sejumlah 14,300 daripada 29,900 pekerja dalam industri aeroangkasa di Malaysia dari 2019 sehingga 2024.

“Angka keseluruhan ini juga hampir mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke12 (RMK-12), yang menetapkan penciptaan 30,000 peluang pekerjaan dalam industri aeroangkasa negara menjelang 2025,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman mengenai peluang pekerjaan yang diwujudkan sektor aeroangkasa di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menurut beliau, pentadbiran negeri menjalin hubungan bersama OEM (Original Equipment Manufacturer) dan penggiat industri bagi mencipta peluang pekerjaan berimpak tinggi dan berkualiti dalam sektor aeroangkasa.

“Kerajaan Negeri juga terus menganjurkan pameran kerjaya untuk menghubungkan penggiat industri dengan bakat tempatan bagi memastikan tenaga kerja yang tersedia dapat diserap ke dalam industri dengan lebih berkesan, sekali gus mengurangkan jurang antara keperluan majikan dan pencari kerja,” katanya.

Beliau berkata Pameran Penerbangan Selangor (SAS) pada tahun lepas menawarkan 2,270 peluang pekerjaan oleh pelbagai syarikat aeroangkasa dengan 222 kekosongan berjaya diisi.

“Kerajaan Negeri menjangka 32,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan menjelang 2030, sejajar sasaran digaris Malaysia Aerospace Industry Blueprint (MAIB) 2030. Kita mahu mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab aeroangkasa utama di Malaysia dan rantau ini,” katanya.

Industri aeroangkasa merupakan antara sektor tumpuan dalam Dasar Speed Selangor yang diumum Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dalam Belanjawan Selangor 2025.

Selangor turut merangka Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor 2020-2030, iaitu strategi 10 tahun bagi merealisasi pembangunan industri aeroangkasa dan memacu hab perindustrian aeroangkasa.

Pembangunan Taman Aero Selangor (SAP) yang terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) akan turut dilaksanakan bagi menjadikan Selangor sebagai hab aeroangkasa global khususnya di rantau Asia Tenggara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619