AGENDA

Kerajaan peruntuk RM20 juta bangun lapan sukan potensi cemerlang di Olimpik

20 Feb 2025, 9:23 AM
Kerajaan peruntuk RM20 juta bangun lapan sukan potensi cemerlang di Olimpik
Kerajaan peruntuk RM20 juta bangun lapan sukan potensi cemerlang di Olimpik
Kerajaan peruntuk RM20 juta bangun lapan sukan potensi cemerlang di Olimpik
Kerajaan peruntuk RM20 juta bangun lapan sukan potensi cemerlang di Olimpik

PETALING JAYA, 20 FEB: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi pembangunan lapan jenis sukan yang berpotensi meraih pencapaian membanggakan di temasya Sukan Olimpik.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata lapan sukan terpilih itu ialah terjun, renang, badminton, berbasikal, memanah, olahraga, skuasy, dan taekwondo.

Beliau menjelaskan bahawa peruntukan itu diperoleh berdasarkan penilaian terhadap bajet yang disediakan untuk program pembangunan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) seperti Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP), Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP), dan Program Pembangunan Bola Jaring Negara (NNDP).

[caption id="attachment_659409" align="aligncenter" width="807"] Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh ketika berucap pada majlis penyerahan kenderaan Chery kepada pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris di pusat jualan Chery di Bukit Puchong pada 22 Ogos 2024. Foto HARUN FADZILLAH MOHD TAJUDIN//MEDIA SELANGOR[/caption]

"Lapan sukan Olimpik ini mempunyai bakat dan potensi kerana di Olimpik, ramai atlet junior yang bertanding. Namun, disebabkan kekurangan dana dan pendedahan, mereka kurang keyakinan. Program Podium sahaja tidak mencukupi kerana saya bimbang kita akan ketandusan atlet.

"Jadi, untuk mengatasi masalah ini, kita telah diberikan RM20 juta. Peruntukan ini bertujuan pembangunan bakat, mengenal pasti atlet di semua peringkat, menghantar mereka ke pertandingan, dan melahirkan pelapis masa depan," katanya.

Hannah berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Program Pembangunan Sukan Olimpik di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata MSN tidak akan campur tangan dalam menentukan agihan peruntukan yang diterima buat kali pertama itu.

Sebaliknya, keputusan berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada pihak persatuan, barisan kejurulatihan, dan pakar bagi menetapkan jumlah yang diperlukan.

“RM20 juta ini tidak akan diagihkan sama rata antara lapan sukan, bukan semua sukan memerlukan dana yang sama,” katanya sambil menyifatkan lapan sukan itu kini mendapat peluang untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan dan program mencungkil bakat.

[caption id="attachment_684879" align="aligncenter" width="815"] Ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi memulakan tugas secara rasmi di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada 1 Februari 2025. Foto Facebook Badminton Association of Malaysia - BAM[/caption]

Dalam pada itu, Hannah tidak menolak kemungkinan peruntukan berkenaan akan bertambah seiring dengan jumlah sukan sekiranya program sedia ada dapat menunjukkan hasil positif.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh menyifatkan ini satu permulaan yang bagus namun perbincangan lanjut dan lebih teliti diperlukan bagi keperluan sukan berbasikal termasuk trek, lebuh raya dan BMX.

“Kita perlu lihat mana kita boleh hantar pelumba-pelumba kita kalau idea adalah untuk memberi peluang kepada bakat dan pelapis untuk diberikan pendedahan. Ini perkembangan yang baik sebab lazimnya pada masa dahulu atlet yang berada dalam Program Podium selalu pergi kejohanan di luar Malaysia.

“Kita telah lama meminta supaya pelapis pun diberikan peluang yang sama, jadi ini permulaan yang baik dan kita harap kerjasama lebih baik boleh dibuat,” katanya.

[caption id="attachment_583836" align="aligncenter" width="812"] Perenang muda negara, Bryan Leong. Foto Twitter Bernama[/caption]

Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MS) Andy Low berkata program berkenaan tepat pada masanya dan mampu memperkasakan lagi program akar umbi sedia ada kelolaan badan induk itu.

Bekas ratu renang negara Nurul Huda Abdullah pula berkata: “Ini yang kami usahakan sejak dua tahun lepas kerana terdapat jurang antara pelapis dan atlet utama. Ini akan membantu atlet melihat laluan yang jelas untuk berkembang daripada pelapis ke Program Podium.

Bengkel Program Pembangunan Sukan Olimpik berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619