AGENDA

Elak kebimbangan awam, KPN minta henti spekulasi kes tembakan di Setia Alam

9 Feb 2025, 7:00 AM
Elak kebimbangan awam, KPN minta henti spekulasi kes tembakan di Setia Alam

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor di sini, malam tadi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata sebarang spekulasi berkenaan kes itu boleh menimbulkan kebimbangan kepada orang ramai.

"Kami faham bahawa timbul kebimbangan dalam kalangan masyarakat susulan kes ini, namun kami berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan keresahan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Razarudin berkata kawalan keselamatan di pusat beli-belah dan lokasi tumpuan umum di seluruh negara kini akan diperketatkan susulan kejadian di Setia Alam itu.

Katanya, anggota polis bantuan dan pengawal keselamatan di lokasi kejadian juga sudah diarahkan sentiasa berwaspada terhadap sebarang aktiviti mencurigakan.

Terkini, Razarudin memaklumkan bahawa polis Selangor telah mengenal pasti suspek dan pelbagai elemen polis sedang berada di lapangan untuk mengesan keberadaannya.

"Kami juga telah memaklumkan kepada polis di negeri-negeri jiran serta pihak berkuasa di sempadan untuk turut berwaspada," katanya.

Media semalam melaporkan berlakunya kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada 10.50 malam, yang menyebabkan seorang pekerja pembersihan cedera.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan hari ini dilaporkan berkata suspek yang sedang diburu itu adalah seorang lelaki warga tempatan berumur 30-an, berkulit cerah dan mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619