AGENDA

'Pempengaruh, jangan keterlaluan buat kandungan media sosial', tegas menteri

8 Feb 2025, 4:52 AM
'Pempengaruh, jangan keterlaluan buat kandungan media sosial', tegas menteri

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Pempengaruh media sosial diingatkan untuk berpada-pada dan tidak keterlaluan dalam menghasilkan kandungan semata-mata bagi mendapatkan tontonan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pempengaruh tempatan yang menghasilkan kandungan media sosial, mendakwa seorang rakan mereka ‘hilang’ dalam hutan di Indonesia.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata kerajaan menyerahkan isu itu kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk tindakan lanjut.

“(Oleh kerana) ini melibatkan kejadian di luar negara, saya minta rakan-rakan media rujuk dengan Wisma Putra. Bagi pempengaruh yang hasilkan kandungan untuk tontonan mereka, nasihat saya ialah berpada-pada, jangan keterlaluan dan biarlah ini kita mengambil ibrah atau pengajaran daripada apa yang berlaku untuk memperbaiki.

“Mungkin cara kita menghasilkan kandungan, kadang-kadang ialah ia bukan seperti yang diceritakan dalam kandungan itu, tapi netizen sangat pantas untuk melakukan siasatan mereka sendiri.

“Saya dapati ada beberapa pempengaruh lain yang telah mendapatkan pengesahan tertentu, tapi sekiranya dia (isu ini) melibatkan badan-badan penguatkuasaan, maka kita serahkan kepada badan-badan tersebut untuk lakukan siasatan.

“Peringatan saya walaupun kita tidak melesenkan pempengaruh, mereka yang menghasilkan kandungan tapi kita harus mengambil pengajaran dan tidak menghasilkan ataupun tidak bertindak sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditanya sama ada kerajaan menerima sebarang laporan berkenaan pempengaruh itu dan sama ada kementerian bakal mengambil sebarang tindakan.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619