AGENDA

Kemalangan pelajar UPSI: Menteri ucap takziah kepada 15 keluarga mangsa

9 Jun 2025, 9:56 AM
Kemalangan pelajar UPSI: Menteri ucap takziah kepada 15 keluarga mangsa

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga 15 pelajar yang telah meninggal dunia dalam kemalangan bas sebuah kenderaan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, Gerik, awal pagi ini.

Mewakili seluruh warga Kementerian Komunikasi, beliau menyifatkan insiden itu sebagai satu kehilangan besar yang pastinya turut memberi kesan perit kepada komuniti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Saya amat berdukacita menerima khabar tragedi kemalangan membabitkan pelajar-pelajar UPSI di Jalan Jeli-Gerik berhampiran Tasik Banding, Perak, awal pagi tadi.

“Bagi pihak seluruh warga Kementerian Komunikasi, saya merakamkan ucapan takziah amat mendalam kepada keluarga 15 pelajar yang telah meninggal dunia dalam insiden tersebut,” katanya menerusi Facebook pagi ini.

Beliau turut mendoakan agar roh semua mangsa ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.

“Sama-sama juga kita doakan agar beberapa lagi yang cedera diberikan kesembuhan segera,” katanya.

Difahamkan bas yang membawa pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak sebelum terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619