BERITA UTAMA

EXCO: Kejohanan e-sukan disertai 64 sekolah, rebut hadiah keseluruhan RM200,000

6 Feb 2025, 11:00 AM
EXCO: Kejohanan e-sukan disertai 64 sekolah, rebut hadiah keseluruhan RM200,000

SHAH ALAM, 6 FEB: Hadiah keseluruhan berjumlah RM200,000 menanti peserta Selangor Future Cup 2025 yang akan berlangsung di dewan pusat beli-belah AEON Shah Alam, Seksyen 13 pada 22 hingga 23 Februari ini.

EXCO sukan berkata kejohanan e-sukan anjuran Kerajaan Negeri itu melibatkan penyertaan 64 sekolah menengah seluruh negeri bagi permainan video Mobile Legends: Bang Bang.

Menurut Najwan Halimi, pertandingan itu juga menjadi platform untuk mengenal pasti bakat baharu bagi mewakili Selangor dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

“Setiap sekolah diwakili tujuh pemain yang berumur 17 tahun dan ke bawah. Format berkonsep liga bertaraf antarabangsa yang turut menyediakan pengulas serta penyokong.

“Inisiatif ini turut melibatkan kolaborasi bersama pihak Selangor Red Giants (SRG) dan akademi Todak yang akan menyediakan bimbingan profesional kepada peserta,” katanya dalam sidang media kejohanan hari ini.

Selain menawarkan hadiah wang tunai hingga RM200,000, Najwan memberitahu pemenang kejohanan juga bakal ditawarkan tajaan biasiswa pengajian sejumlah RM160,000 oleh akademi Todak hingga ke peringkat diploma.

“Diploma melibatkan modul serta kursus kemahiran membabitkan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).

“Kemahiran ini memberi ruang kepada mereka memerdayakan diri dalam bidang akademik,” katanya lagi.

Dato’ Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2025 mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk mengubah suai bekas Hotel Carlton di Seksyen 13 di sini, sebagai gedung e-sukan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif berkenaan memberi peluang kepada negeri menjadi tuan rumah kepada pertandingan e-sukan di peringkat Asean dan antarabangsa.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619