AGENDA

Mesir, Palestin bincang pelan pulih Gaza tanpa pindah penduduk

6 Feb 2025, 2:30 AM
Mesir, Palestin bincang pelan pulih Gaza tanpa pindah penduduk

ISTANBUL, 6 FEB: Mesir dan Palestin mengadakan perbincangan pada Rabu untuk membincangkan rancangan pemulihan bagi Semenanjung Gaza yang musnah akibat serangan Israel tanpa perlu memindahkan rakyat Palestin, lapor Agensi Anadolu (AA).

Perbincangan berlangsung dalam satu mesyuarat di Kaherah antara Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty dan Perdana Menteri Palestin yang juga Menteri Luar, Mohamed Mustafa.

Satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu menegaskan sokongan Mesir terhadap kerajaan Palestin serta rancangan reformasinya.

Menurut Anadolu, kenyataan itu menekankan kepentingan "memberdayakan Pihak Berkuasa Palestin secara politik dan ekonomi untuk melaksanakan tugasnya di Semenanjung Gaza sebagai sebahagian daripada wilayah Palestin yang diduduki."

Ia juga menyoroti keperluan mendesak untuk meningkatkan pemulihan di Gaza, memastikan penghantaran bantuan dan membersihkan runtuhan tanpa memindahkan rakyat Palestin dari kawasan itu.

Abdelatty turut mengulas usaha Mesir untuk mengekalkan perjanjian gencatan senjata Gaza dan melaksanakan semua syaratnya.

Sebelum ini, Trump dalam satu sidang media di Washington bersama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Selasa berkata AS “akan mengambil alih” Gaza selepas memindahkan rakyat Palestin ke tempat lain dalam satu rancangan pembangunan semula luar biasa yang didakwa boleh menjadikan wilayah itu sebagai “Riviera Timur Tengah.”

Presiden AS itu pertama kali mencetuskan kontroversi pada 25 Jan dengan mencadangkan rakyat Palestin di Gaza perlu dipindahkan ke Jordan dan Mesir dengan menyebut kawasan itu sebagai “tapak kemusnahan” selepas perang Israel. Cadangannya, bagaimanapun, ditolak keras oleh Amman dan Kaherah.

Mesyuarat menteri enam negara Arab di Kaherah pada Sabtu menolak sekeras-kerasnya sebarang pemindahan penduduk Palestin dari Gaza dan mengulangi gesaan untuk melaksanakan penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin.

Cadangan Trump itu dikemukakan selepas perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza pada 19 Jan, sekali gus menghentikan perang genosid Israel yang meragut lebih 47,500 nyawa rakyat Palestin dan menghancurkan wilayah berkenaan.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap pada November tahun lalu terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan dengan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa susulan serangannya di wilayah itu.

- BERNAMA-AA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619