AGENDA

Mangsa banjir di Sabah, Sarawak menurun sedikit pagi ini

4 Feb 2025, 2:47 AM
Mangsa banjir di Sabah, Sarawak menurun sedikit pagi ini
Mangsa banjir di Sabah, Sarawak menurun sedikit pagi ini

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Jumlah mangsa banjir di Sarawak menurun kepada 9,039 orang yang ditempatkan di 40 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam bahagian setakat pagi ini berbanding 9,314 malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak memaklumkan daripada jumlah itu, 4,492 mangsa berlindung di sembilan PPS di bahagian Bintulu berbanding 4,727 orang dicatatkan malam tadi, manakala 1,525 orang lagi masih kekal di empat PPS di bahagian Serian.

Bahagian Miri pula merekodkan 1,406 mangsa berbanding 1,464 orang di 12 PPS manakala di bahagian Sibu melibatkan 828 mangsa berbanding 839 orang di lima PPS.

Di bahagian Samarahan, jumlah mangsa kekal 523 orang yang berlindung di empat PPS sementara di bahagian Mukah, jumlah mangsa meningkat sedikit kepada 265 orang di tiga PPS berbanding 236 malam tadi.

[caption id="attachment_684635" align="aligncenter" width="812"] Pemandangan kawasan banjir di Bintulu yang dirakam Unit Dron Angkatan Pertahanan Awam Sarawak pada 30 Januari 2025. Foto Unit Dron APM Sarawak[/caption]

Di Sabah, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 102 orang daripada 27 keluarga pagi ini berbanding 94 orang daripada 26 keluarga pada pukul 8 malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan semua mangsa ditempatkan di sebuah PPS di Kinabatangan, satu-satunya daerah masih dilanda banjir di negeri berkenaan.

“Trend pemindahan di PPS di Kinabatangan pada pagi ini adalah kekal,” menurutnya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada pukul 5.45 pagi ini memaklumkan hujan berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Telupid, Beluran dan Sandakan di Sabah hingga esok.

MetMalaysia juga mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Sarawak meliputi Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.

Amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Sabah pula melibatkan bahagian Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Kinabatangan) serta Kudat.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619