BERITA UTAMA

Selangor Future Cup medan cari bakat baharu e-sukan

2 Feb 2025, 8:00 AM
Selangor Future Cup medan cari bakat baharu e-sukan
Selangor Future Cup medan cari bakat baharu e-sukan

SHAH ALAM, 2 FEB: Selangor Future Cup bakal menjadi medan pencarian bakat baharu dalam kalangan pelajar sekolah menengah bagi memperkukuh industri e-sukan.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata pertandingan itu bertujuan memperluas kumpulan bakat baharu bagi membangunkan pasukan e-sukan negeri yang lebih kompetitif.

“Kita sedia maklum, Selangor Red Giants (SRG) kukuh, ada bakat dan nama. Tapi kita tidak boleh hanya bergantung kepada bakat sedia ada. Jadi Selangor Future Cup ini untuk mengenal pasti bakat baharu.

“Kita bekerjasama dengan 84 sekolah menengah dan akan kenal pasti pelajar mereka yang berbakat dan berpotensi untuk kita gilap dan seterusnya serapkan dam pasukan e-sport Selangor nanti,” katanya.

Beliau ditemui pada Karnival Kesihatan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik di Surau Al-Ansor, Seksyen 2, di sini, hari ini.

[caption id="attachment_685004" align="alignnone" width="752"] EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Najwan Halimi (tengah) menyampaikan cenderhati kepada peserta Khatan Perdana pada Program Karnival Kesihatan DUN Kota Anggerik 2025 di Surau Al-Ansor, Seksyen 2, Shah Alam pada 02 Februari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Sebelum ini, Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor memaklumkan Kerajaan Negeri bersama pihaknya bakal memperkenalkan Selangor Future Cup dalam usaha merancakkan lagi aktiviti e-sukan dalam kalangan pelajar.

Menurut Mohamad Nizam Marjugi kejohanan berkenaan membabitkan penyertaan pelajar menengah dengan kerjasama pihak sekolah.

Pada Julai 2024, SRG melakar sejarah baharu dalam arena e-sukan negara selepas muncul juara pada kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 di Arab Saudi.

SRG mencatat kemenangan 4-3 ke atas pasukan Filipina Falcons AP Bren Sport, sekali gus memahat nama sebagai juara baharu dan membawa pulang hadiah RM4.6 juta.

Dato’ Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2025 mengumumkan Kerajaan Negeri akan mengubah suai Hotel Carlton di Seksyen 13 di sini untuk dijadikan Gedung E-Sports dengan peruntukan RM1 juta.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif berkenaan memberi peluang kepada negeri menjadi tuan rumah kepada pertandingan e-sukan di peringkat Asean dan antarabangsa.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619