AGENDA

JPJ: 182 pemandu, 163 kenderaan Thailand ada saman tertunggak

26 Jan 2025, 10:00 AM
JPJ: 182 pemandu, 163 kenderaan Thailand ada saman tertunggak

KOTA BHARU, 26 JAN: Seramai 182 pemandu dan sebanyak 163 kenderaan mempunyai rekod saman tertunggak menerusi Operasi Saman Tertunggak Kenderaan Pendaftaran Asing Negara Thailand (Ops Tunggak) dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi tempoh 1 hingga 24 Jan.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata selain itu sebanyak 16 kenderaan dari Thailand telah disita sepanjang tempoh berkenaan.

Antara kesalahan yang dikenakan tindakan berkaitan International Circulation Permit (ICP), tiada lesen memandu dan kesalahan teknikal termasuk cermin gelap.

"Hingga 24 Jan, sebanyak 2,010 pemandu dan 1,811 kenderaan telah diperiksa dan daripada jumlah itu 182 pemandu dan 163 kenderaan mempunyai rekod saman tertunggak.

"JPJ juga telah mengesan dan mengambil tindakan terhadap 172 kenderaan dan sebanyak 619 Notis JPJ (P) 22 dikeluarkan kepada pemilik kenderaan dan pemandu dari Thailand yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Setia Khas di JPJ Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata sepanjang tempoh operasi ini, pihaknya juga berjaya mengutip bayaran saman sebanyak RM425,104 dengan 332 saman tertunggak telah diselesaikan.

"Ada sebuah kenderaan dari Thailand yang kita tahan di Perlis mempunyai 85 saman tertunggak sejak tiga tahun lepas dengan pelbagai kesalahan dan kita minta dia selesaikan dengan jumlah RM20,500 … dia bayar dan kita sudah lepaskan.

"Kita akan meneruskan penguatkuasaan terhadap kenderaan dari Thailandd alam usaha meningkatkan tahap Perception of Being Caught (POBC) dan pematuhan peraturan jalan raya melibatkan warga asing," katanya.

Ops Tunggak bermula 1 Jan lepas membabitkan empat negeri sempadan Malaysia-Thailand iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan, bertujuan mengesan kenderaan dari Thailand yang mempunyai saman tertunggak dengan memastikan pemilik atau pemandu menyelesaikan saman berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Aedy Fadly berkata surat tawaran kepada syarikat yang terpilih bagi penggunaan kamera badan untuk anggota JPJ dijangka dikeluarkan pada Ogos atau September depan.

"Sekarang ini kita sedang usahakan dari segi peruntukan, kemudian kita akan buat perolehan untuk kamera badan ini … . Proses itu sedang berjalan dan akan mengambil masa," katanya.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata penggunaan kamera badan untuk anggota JPJ bakal diperkenalkan bagi meningkatkan ketelusan penguatkuasaan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619