AGENDA

Pemilik stesen minyak mengaku salah jual RON95 kepada kenderaan asing

15 Mac 2024, 9:22 AM
Pemilik stesen minyak mengaku salah jual RON95 kepada kenderaan asing

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Seorang pemilik sebuah stesen minyak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini atas pertuduhan menjual barangan kawalan berjadual petrol RON95 kepada sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Thailand, dua bulan lepas.

Mohammad Naziruddin Abu Hassan, 61, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa sebagai pemegang lesen runcit barang kawalan berjadual iaitu petrol dan diesel, gagal mematuhi arahan pengawal bekalan dengan menjual petrol RON 95 sebanyak 48.78 liter kepada kenderaan berkenaan yang melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah stesen minyak di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya Utara-Selatan (Arah Utara) di Rawang, Selangor pada 9.16 pagi, 1 Januari lepas.

Pertuduhan mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya dan untuk kesalahan kedua atau seterusnya boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Nor Rajiah Mat Zin menetapkan 26 April ini untuk fakta kes dan jatuh hukum.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Siti Fatimah Hannah Abd Wahab dan Pegawai Pendakwa KPDN Nor Wahidah Muhammad manakala OKS diwakili peguam Muhammad Syahmi Akif Jamili.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619