AGENDA

Peruntuk RM20 juta sedia latihan kemahiran digital kepada 5,000 individu tahun ini

23 Jan 2025, 9:02 AM
Peruntuk RM20 juta sedia latihan kemahiran digital kepada 5,000 individu tahun ini

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melalui Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memperuntukkan RM20 juta untuk menyediakan latihan kemahiran kepada sehingga 5,000 rakyat Malaysia dalam tiga sektor utama iaitu keselamatan siber, sains data, dan kecerdasan buatan (AI) tahun ini.

Menterinya Steven Sim Chee Keong berkata inisiatif itu bertujuan menyediakan latihan kemahiran semula dan meningkatkan kemahiran pekerja negara ini, dengan semua peserta akan menjalani latihan antara tiga ke enam bulan di satu daripada syarikat teknologi gergasi India, HCL Technologies.

"Bagi Perkeso, mereka akan melatih pekerja terutamanya yang dilindungi di bawah Skim Insurans Pekerjaan manakala HRD Corp akan melatih pekerja secara umum di luar skim Perkeso. Sasaran kami adalah melatih sehingga 5,000 pekerja Malaysia dalam sektor utama itu, mengikut modul yang disediakan oleh HCL Technologies tahun ini.

"Satu sebab mengapa Perkeso terlibat adalah kerana mereka mengendalikan Skim Insurans Pekerjaan. Jadi, dalam ekosistem latihan ini, MyFutureJobs juga akan membantu mereka untuk memadankan peluang pekerjaan yang sesuai," katanya.

Sim berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara HRD Corp, Perkeso dan HCL Technologies di Menara Perkeso di sini hari ini.

Pemeteraian MoU itu, menurut Sim, merupakan kesinambungan perbincangan yang sangat penting antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pihak HCL Technologies pada misi diplomatik beliau ke India pada Ogos lalu.

"Jadi dalam tempoh enam bulan, kita dapat menyaksikan acara penting iaitu pemeteraian MoU secara rasmi hari ini, yang menandakan kerjasama antara tiga organisasi terlibat.

"Mudah-mudahan jumlah peserta boleh ditingkatkan pada tahun hadapan. Jika kita boleh memperoleh sehingga 10,000 peserta, sudah pasti saya lebih gembira untuk membantu. Ketika perbincangan di India, ia bukan hanya melibatkan HCL Technologies dan Kesuma, tetapi turut melibatkan kementerian lain," katanya.

Sim berkata kerjasama itu juga mencerminkan komitmen Malaysia untuk merapatkan jurang kemahiran digital selain mengukuhkan cita-cita negara menjadi peneraju serantau dalam pembangunan tenaga kerja.

Sementara itu, Perkeso menerusi kenyataan bersama HRD Corp dan HCL Technologies memaklumkan kumpulan pertama peserta dijadualkan memulakan latihan pada awal tahun ini, dengan permohonan dibuka di portal MyFutureJobs.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619