SHAH ALAM, 23 JAN: Cadangan Selangor melaksanakan hari larangan penggunaan beg plastik pada Jumaat hingga Ahad dimuktamad pertengahan tahun ini.
EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata langkah menambah hari larangan penggunaan beg plastik itu sebahagian komitmen ke arah negeri yang hijau dan lestari.
"Kerajaan Selangor bercadang untuk meluaskan pelaksanaan hari larangan penggunaan plastik sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap kelestarian alam sekitar.
"Cadangan ini akan dimuktamadkan pada sekitar pertengahan tahun ini. Bersama-sama, kita menuju ke arah Selangor yang lebih hijau dan lestari!” katanya di Facebook.
Pada November tahun lepas, Jamaliah memaklumkan Selangor bakal menguatkuasa larangan penggunaan beg plastik pada Jumaat hingga Ahad di setiap premis perniagaan sebagai inisiatif melindungi alam sekitar.
Beliau berkata perkara itu sedang diteliti termasuk aspek bidang kuasa bagi memastikan tindakan penguatkuasaan yang bakal diambil berjalan lancar.
Selangor mula melaksanakan kempen Hari Tanpa Beg Plastik pada 2010 setiap Sabtu, dengan sokongan kebanyakan pasar raya, pasar mini dan premis perniagaan. Pengguna akan dikenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik.
Julai tahun lalu Jamaliah memaklumkan sehingga 2023, Selangor mengumpul RM38 juta menerusi caj 20 sen bagi setiap beg plastik di kedai.
Wang yang dikutip diguna untuk program kesedaran melindungi alam sekitar antaranya Karnival Alam Sekitar 2024, pemasangan lampu solar, program pokok untuk pendidikan, sambutan Hari Bumi dan projek taman komuniti.