AGENDA

MIDF Amanah jangka inflasi Malaysia cecah 2.8 peratus tahun ini

23 Jan 2025, 5:14 AM
MIDF Amanah jangka inflasi Malaysia cecah 2.8 peratus tahun ini

KUALA LUMPUR, 23 JAN: MIDF Amanah Investment Bank Bhd menjangkakan inflasi tahun penuh Malaysia mencecah 2.8 peratus pada 2025, didorong terutamanya oleh perubahan dalam dasar kerajaan.

Bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata antara perubahan dalam dasar termasuklah rancangan kerajaan untuk rasionalisasi subsidi.

Inflasi utama Malaysia susut kepada 1.7 peratus tahun ke tahun pada Disember 2024 didorong oleh inflasi bukan makanan yang lebih perlahan.

“Inflasi bukan makanan terus menurun kepada 1.1 peratus tahun ke tahun (November 2024: 1.4 peratus) disebabkan oleh deflasi dalam sektor pakaian dan kasut, dan maklumat dan komunikasi, serta inflasi yang lebih perlahan dalam sektor kesihatan, rekreasi, sukan dan budaya, penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta komponen perkhidmatan,” katanya.

MIDF Amanah mengunjurkan kadar dasar semalaman (OPR) kekal pada 3.0 peratus sepanjang 2025 berikutan kekurangan tekanan permintaan yang ketara terhadap inflasi.

Bank pelaburan itu berpendapat kadar ketika ini kekal menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar inflasi Malaysia bagi Disember 2024 menyederhana kepada 1.7 peratus, dengan mata indeks berada pada 133.4 berbanding 131.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Selain itu, semasa mesyuaratnya pada Rabu, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan OPR pada 3.0 peratus.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619