SHAH ALAM, 21 JAN: Ladang penternakan yang tidak mematuhi tahap kebersihan optimum perlu dikenakan tindakan tegas selain dihentikan operasi selepas dikompaun sebanyak tiga kali.
Gesaan itu dibuat Ahli Dewan Negeri Tanjong Sepat susulan bantahan penduduk ke atas premis yang didakwa menjadi punca kemunculan ribuan lalat di Kampung Ladang Batu sejak tiga tahun lalu.
“Sebelum ini pihak kami sudah memanggil semua agensi seperti veterinar, pihak berkuasa tempatan, jabatan alam sekitar, pejabat tanah, semua penternak serta wakil penduduk untuk bersemuka berbincang mengenai isu ini.
“Satu solusi diambil (ketika mesyuarat) bahawa tindakan boleh diambil kepada premis penternakan yang tidak mengikut peraturan,” katanya pada sidang media Pembukaan Semula Muzium Sultan Alam Shah di sini, semalam.
[caption id="attachment_683003" align="alignnone" width="738"] Antara tarikan di Muzium Sultan Alam Shah, Seksyen 14, Shah Alam yang dibuka kepada pengunjung pada 8 Februari 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Borhan menjelaskan pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan penternak selain memberi pendedahan pematuhan tatacara pengurusan premis mengikut piawaian kebersihan ditetapkan.
"Kita beri pendedahan bagaimana pengusaha boleh menjaga tahap kebersihan contohnya semburan jenis racun yang boleh digunakan, tetapi kami mendapati sekejap sahaja mereka mempraktikkannnya.
"Kita tiada halangan mengusahakan penternakan tetapi kena jaga sensitiviti masyarakat di situ,” tegasnya.
Kelmarin, Berita Harian melaporkan kehidupan 104 keluarga dengan kira-kira 500 isi rumah di kampung itu terganggu dengan serangan ribuan lalat.
Menurut penduduk, keadaan tidak selesa dan merimaskan itu berlanjutan sejak tiga tahun lalu dipercayai berpunca dari sebuah premis penternakan ayam berhampiran kediaman mereka.