ad
BERITA UTAMA

Pemindahan kubur Islam Selat Klang lancar, tiada isu berbangkit

17 Jan 2025, 2:39 AM
Pemindahan kubur Islam Selat Klang lancar, tiada isu berbangkit
Pemindahan kubur Islam Selat Klang lancar, tiada isu berbangkit

KLANG, 17 JAN: Proses pemindahan 90 plot kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini, yang selesai minggu lalu berjalan lancar tanpa isu berbangkit daripada waris.

EXCO Agama Dr Fahmi Ngah berkata pihaknya sedar dakwaan waris tidak dibenarkan melihat proses pemindahan jenazah, namun ia dilakukan dengan beberapa sebab penting.

“Proses alih memang kita tidak benarkan (waris datang) kerana isu keselamatan, terutamanya tanah yang lembut dan ada banyak jentera. Selain itu juga ada mangsa Covid-19 yang menjadi isu kesihatan.

“Ketiga, soal aib kepada jenazah dan saya tidak mahu didedahkan pada awam. Saya sendiri lihat video proses pemindahan dibuat dan ia dibuat dengan sangat cermat dan teliti,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis bacaan tahlil untuk jenazah yang terlibat dengan pengalihan kubur di Masjid Jamek Ar-Rahimiah di sini, malam tadi yang dipimpin Timbalan Mufti negeri Dato’ Prof Madya Dr Miszairi Sitiris.

[caption id="attachment_682402" align="alignnone" width="842"] Pengarah Jais Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad (tiga, kanan) ketika Majlis Bacaan Yasin dan sidang media kerja pengalihan 90 lot kubur Selat Kelang di Masjid Jamek Ar Rahimiah, Klang pada 16 Januari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Hampir 100 waris menyertai majlis berkenaan yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Dalam pada itu, Fahmi berkata pihak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bersetuju menaja set kepuk dan batu nisan baharu kepada 90 plot kubur baharu terbabit, yang dijangka siap menjelang Ramadan ini.

Malah, katanya, Kerajaan Negeri juga berhasrat menyediakan wang saguhati kepada kira-kira 100 sukarelawan terlibat berikutan berjaya melaksana proses pemindahan kubur dengan sempurna.

“Kita akan berikan sedikit saguhati kepada petugas yang telah menjalankan proses pindahan dengan sangat baik kerana pada mulanya kita menjangkakan empat hari tapi berjaya disiapkan tiga hari sahaja,” katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 18 Julai 2023 dan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) pada 9 Oktober tahun lalu telah menimbang teliti, meluluskan Pelan Tindakan Pengalihan Tapak Perkuburan Islam yang terlibat dengan jajaran ECRL berkenaan.

Laluan ECRL di negeri ini melibatkan jajaran sepanjang 90.72 kilometer melalui daerah Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Klang.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.