AGENDA

Bekas datuk bandar antara empat ditahan kes pengubahan wang haram

16 Jan 2025, 3:00 PM
Bekas datuk bandar antara empat ditahan kes pengubahan wang haram

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Bekas datuk bandar antara empat lagi individu ditahan hari ini dan semalam menerusi Op Ragada bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram melibatkan sebuah syarikat penyiaran di Kuching, Sarawak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata tangkapan turut membabitkan dua wanita yang masing-masing merupakan pengarah urusan syarikat dan bekas pengurus besar serta seorang lelaki dengan kesemuanya berumur 53 hingga 71 tahun.

“Kesemua tangkapan dilakukan di Kuching dan polis turut merampas 32 dokumen di sebuah syarikat berasingan di Kuching,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Razarudin berkata pengarah urusan syarikat dan seorang lelaki terbabit direman dua hari manakala permohonan reman terhadap bekas Datuk Bandar dan bekas pengurus besar akan dibuat esok.

Sebelum ini, polis menahan lima individu termasuk pegawai pengurusan tertinggi stesen penyiaran yang sama berusia antara 26 hingga 62 tahun bagi membantu siasatan.

Seorang daripada mereka dibebaskan dengan jaminan polis manakala bakinya termasuk isteri, anak dan adik ipar pegawai terbabit direman untuk siasatan lanjut.

Siasatan mendapati modus operandi mereka adalah menjalankan aktiviti jenayah pengubahan wang haram melalui transaksi kewangan yang mencurigakan dan kesalahan pecah amanah jenayah, tipu tender dan menganugerahkan tender kepada diri sendiri atau ahli keluarga.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619