KUALA LUMPUR, 11 JAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan kerajaan akan melaksanakan program Rekalibrasi Tenaga Kerja 3.0 (RTK 3.0) dalam masa terdekat seperti tular di media sosial.
Ketua Pengarahnya Datuk Zakaria Shaaban berkata hingga kini tiada keputusan dibuat berhubung pelaksanaan RTK 3.0.
"Jabatan menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan pihak yang mengambil kesempatan menggunakan nama program RTK," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata orang ramai juga boleh melayari portal serta akaun media sosial rasmi JIM untuk mendapatkan maklumat tepat serta terkini berkaitan jabatan berkenaan.
Zakaria berkata Progam RTK 2.0 yang diperkenalkan bermula pada 27 Januari 2023 berakhir sepenuhnya pada 30 Jun 2024.
Program RTK merupakan suatu program khas untuk menjadikan pendatang asing di negara ini sebagai pekerja asing yang sah, digajikan oleh majikan yang layak tertakluk kepada syarat ketat kerajaan.
- BERNAMA