ad
BERITA UTAMA

Selangor-Khazanah bincang pembangunan aeroangkasa, semikonduktor

10 Jan 2025, 10:25 AM
Selangor-Khazanah bincang pembangunan aeroangkasa, semikonduktor

SHAH ALAM, 10 JAN: Selangor mengukuhkan kerjasama dengan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) bagi membincangkan pembangunan sektor aeroangkasa dan semikonduktor yang berkembang di negeri ini.

Menerusi Facebook, EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata pihaknya menerima kunjungan Pengarah Urusan Khazanah Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, petang semalam bagi membincangkan perkara itu.

Mesyuarat itu dipengerusikan Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari.

Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop dan Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping.

"Kerajaan Negeri berharap kedua-dua sektor berimpak tinggi ini boleh digerakkan bersama dan seiringan dengan persekutuan melalui Khazanah, MBI Selangor dan Sidec," katanya.

Terdahulu, Amirudin menyasarkan Selangor bakal menjadi tulang belakang ekonomi negara dan memainkan peranan dalam pembangunan industri semikonduktor serta teknologi.

Menurutnya, negeri juga bersedia menjadi hab penting negara menerusi sokongan Dasar Speed Selangor yang diperkenal bagi memendekkan kelulusan merancang kawasan industri.

Beliau menjelaskan pembinaan taman reka bentuk litar bersepadu (IC) di Puchong dan Cyberjaya turut membolehkan Malaysia bersaing di peringkat antarabangsa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.