SHAH ALAM, 9 JAN: Akidah 124 anak-anak yang diselamatkan dari rumah amal GISB Holdings (GISBH) September tahun lalu, semakin pulih dan mereka kembali mengikut ajaran agama sebenar.
EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berkata tiada lagi amalan atau perilaku seperti memunaikan solat sekali sehari dengan menghimpunkan 17 rakaat pada satu-satu masa seperti ketika awal penjagaan.
“Dahulu itu amalan mereka, solat sekali sehari campurkan semua rakaat sembahyang dari Subuh sampai Isyak. Kita tidak letakkan sebarang sasaran tetapi mahu betulkan akidah mereka.
“Mereka juga taasub dengan Abuya sampai tidak benar kita tukarkan pakaian, kopiah kerana percaya ada berkat Abuya. Sekarang semua berubah dan mereka boleh berkomunikasi dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, tempoh penjagaan anak-anak berusia antara 12 hingga 18 tahun tamat hujung bulan ini dan pihaknya akan membuat permohonan lanjutan kepada mahkamah jika perlu.
[caption id="attachment_673769" align="aligncenter" width="697"] Polis merampas pelbagai jenis buku dan dokumen berkaitan GISBH yang ditanam di tepi pinggir sungai, selain ada yang turut dibakar ketika serbuan di Kampung Panji, Kota Bharu pada 21 September 2024. Foto BERNAMA[/caption]
Beliau menambah mereka yang masih dalam jagaan disebabkan Kerajaan Negeri tidak dapat mengesan ibu bapa atau penjaga sah mereka, dipercayai ahli GISBH sendiri, selain tiada yang menuntut.
“Daripada segi fizikal, keadaan mereka ke arah positif. Pemantauan daripada Kementerian Kesihatan sentiasa ada. Kita pastikan mereka mendapat nutrisi lengkap supaya pertumbuhan seimbang,” katanya.
Pada 10 September tahun lalu, polis menyerbu 20 premis GISBH sekitar Selangor dan Negeri Sembilan selepas mengesyaki kumpulan itu membuat kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan manusia.
Menerusi Op Global, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan selain dipercayai menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.
Susulan itu, Kerajaan Negeri menubuhkan jawatankuasa khas terdiri daripada Jabatan Agama Islam Selangor, Majlis Agama Islam Selangor, polis dan Jabatan Pendidikan Negeri bagi penilaian mangsa.
Turut terlibat Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan Negeri, Lembaga Zakat Selangor, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Yayasan Selgate, Persatuan Taska Negeri Selangor selain agensi swasta dan bukan kerajaan.