BERITA UTAMA

EXCO: Konvensyen Mahasiswa tutup tirai, kualiti kertas kerja lebih baik

8 Nov 2024, 4:14 AM
EXCO: Konvensyen Mahasiswa tutup tirai, kualiti kertas kerja lebih baik
EXCO: Konvensyen Mahasiswa tutup tirai, kualiti kertas kerja lebih baik

KAHERAH, 8 NOV: Konvensyen Mahasiswa Selangor Timur Tengah edisi keempat yang berlangsung antara 5 hingga 7 November menutup tirai malam tadi, dengan menghimpunkan lebih 200 pelajar.

Bertemakan “Memartabatkan Karamah Insaniah Dalam Memperkasa Generasi Madani”, konvensyen yang diadakan di sebuah hotel di sini, menerima 22 kertas kerja menyentuh beberapa tema.

Ia merangkumi adab dan akhlak, ekonomi dan kewangan, integriti dan perundangan serta kebudayaan dan kemasyarakatan yang dibentang penuntut dari Mesir, Morocco, Arab Saudi, Jordan juga Malaysia.

EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah ketika ditemui memuji kualiti perbahasan dan kertas kerja dibentang mahasiswa terbabit, selain menyifatkan ia lebih baik berbanding edisi terdahulu.

[caption id="attachment_672046" align="alignright" width="441"] Exco Agama Islam Dr Fahmi Ngah bercakap kepada wartawan Media Selangor pada Majlis Penutup Konvensyen Mahasiswa Timur Tengah di Kaherah, Mesir pada 7 November 2024. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]

“Saya amat teruja melihat semangat pelajar yang mendedikasikan masa tiga hari sepenuhnya untuk konvensyen kali ini. Mereka begitu tekun mendengar pembentangan syarahan dan kuliah.

“Daripada segi pertanyaan soalan dalam kalangan peserta juga begitu matang. Jika inilah hasil atau aset yang kita ada, insya-Allah Selangor boleh dipacu ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau bercakap pada majlis penutup konvensyen yang turut dihadiri Mufti Selangor Dato’ Setia Prof Madya Dr Anhar Opir dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Dalam majlis sama, Fahmi menyampaikan anugerah pembentang kertas kerja terbaik bertajuk “Had Kifayah Sebagai Kaedah Pengelasan Pendapatan Isi Rumah dan Pelaksanaannya dari Perspektif Ekonomi Islam”, diungguli Muhammad Zulkhairi Dzulhasnan dari Universiti Al-Azhar.

Sementara kertas kerja terbaik dinobatkan kepada Shahril Idzham Hamizi, juga dari universiti sama bertajuk “Fiqh al-Ta’ayush: Garis Panduan Pengamalan dan Salah Faham Terhadap Isu Etnik dan Agama di Malaysia”.

Selain pembentangan kertas kerja, konvensyen kali ini diselitkan sesi dialog, pendengaran awam, forum, bual bicara bersama Merdeka Centre dan bengkel pembangunan aplikasi dengan Swift Associate Timur Tengah-Selangor (ME-Selangor: Swift UI).

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata konvensyen itu bertujuan memanfaatkan hubungan antara Kerajaan Negeri dan mahasiswa Selangor Timur Tengah.

Penganjurannya juga katanya bagi menggarap pemikiran positif mahasiswa untuk diterapkan dan dijadikan asas pembangunan jati diri yang kukuh serta mampan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619