AGENDA

Dua guru taska didakwa abai kanak-kanak sehingga maut

7 Jan 2025, 10:39 AM
Dua guru taska didakwa abai kanak-kanak sehingga maut

IPOH, 7 JAN: Dua guru sebuah taska mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak di bawah jagaan mereka sehingga menyebabkan mangsa mati lemas, pada April 2023.

S. Esther Christina, 60, dan M. Manisah, 35, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka yang merupakan penjaga kanak-kanak lelaki V. Thanes Nair, 4, di sebuah tadika di Chemor telah meninggalkan kanak-kanak itu tanpa pengawasan yang sepatutnya pada 10.07 pagi, 17 April tahun lepas.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 33 (1) (8) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 134 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya serta khidmat masyarakat antara 36 hingga 240 jam.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi seorang tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Gary Xavier yang mewakili Esther Christina memohon jaminan dikurangkan kepada RM2,500 kerana tertuduh akan bersara seminggu lagi, selain berhadapan dengan masalah kesihatan dan masih menerima rawatan untuk penyakit barah otak yang dihidapinya.

Peguam Jason Anthony yang mewakili Manisah pula memohon pengurangan jaminan dengan alasan tertuduh sedang melanjutkan pelajaran pada peringkat sarjana yang memerlukan dia membayar yuran pengajian dan hanya berpendapatan RM1,900 sebulan.

Hakim kemudian menetapkan jaminan RM3,000 setiap seorang dan 8 April ini bagi tarikh sebutan semula kes.

Pada April 2023, ibu Thanes Nair, D. Nilaveni, 40, mendakwa pihak pengurusan tadika itu bersikap cuai sehingga menyebabkan anak tunggalnya maut.

Thanes meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini kira-kira pukul 10.35 pagi selepas enam hari dimasukkan ke hospital pada 17 April 2023.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619