AGENDA

Pasangan kekasih mengaku salah abai kanak-kanak hingga mengakibatkan kematian

1 Apr 2024, 6:00 AM
Pasangan kekasih mengaku salah abai kanak-kanak hingga mengakibatkan kematian

SEREMBAN, 1 APRIL: Sepasang kekasih mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun sehingga mengakibatkan kematiannya, bulan lepas.

Mohd Khairul Shamsua Israk, 38, dan ibu kandung kepada kanak-kanak berkenaan Noraini Haron, 42, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Sebagai orang yang mempunyai hak pemeliharaan terhadap kanak-kanak berkenaan, kedua-dua mereka dengan niat bersama dituduh mengabaikan mangsa sehingga menyebabkan kematiannya di Taman Mayung, Port Dickson dekat sini antara 12 tengah hari hingga 6.45 petang pada 18 hingga 24 Mac lepas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Noor Syafina meminta mahkamah supaya tidak menawarkan wang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukan mereka adalah serius.

"Sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara, jaminan yang tinggi perlu dikenakan terhadap kedua-duanya," katanya.

Mohd Khairul Shamsua yang juga pembantu bengkel bagaimanapun meminta mahkamah membenarkan wang jaminan yang rendah dikenakan berikutan mempunyai tanggungan enam anak dan ibu bapa, manakala Noraini pula tidak bekerja selain turut mempunyai dua anak lagi.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.

Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 2 Mei ini untuk serahan laporan forensik.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619