AGENDA

Kes demam denggi menurun minggu lalu, satu kematian dilaporkan

6 Jan 2025, 10:35 AM
Kes demam denggi menurun minggu lalu, satu kematian dilaporkan

PUTRAJAYA, 6 JAN: Kes demam denggi dilaporkan menurun kepada 1,341 kes pada Minggu Epidemiologi ke-52 (ME52) dengan satu kematian berbanding 1,407 kes dan dua kematian pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata secara kumulatif, jumlah keseluruhan kes demam denggi pada tahun lepas adalah sebanyak 122,423 kes dengan 117 kematian berbanding 123,133 kes dan 100 kematian pada 2023.

"Pada awal 2024, bilangan kes yang dilaporkan melebihi 3,000 kes seminggu. Namun begitu, sejak ME ke-44 purata kes mingguan telah menurun dengan ketara kepada kira-kira 1,200 hingga 1,500 kes sahaja dan berada di bawah paras median lima tahun," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat 22 lokaliti aktif hotspot yang dilaporkan pada ME52 berbanding 18 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Daripada 22 lokaliti itu, sebanyak 12 lokaliti di Selangor, lima lokaliti di Negeri Sembilan, tiga lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta satu lokaliti masing-masing di Pahang dan Pulau Pinang.

Dr Muhammad Radzi berkata Kementerian Kesihatan (KKM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah berganding bahu dalam usaha mengawal penyebaran demam denggi sepanjang 2024.

Beliau berkata kejayaan menurunkan kes denggi ke tahap di bawah median lima tahun itu merupakan hasil usaha berterusan dan komitmen semua pihak.

Namun, katanya cabaran yang lebih besar dijangka menanti pada 2025, khususnya dengan perubahan cuaca yang tidak menentu, peningkatan aktiviti pembangunan serta mobilisasi masyarakat yang boleh memberi impak kepada usaha pencegahan dan kawalan denggi di negara ini.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata KKM menyeru seluruh masyarakat untuk terus memperkukuh langkah pencegahan khususnya melalui pelaksanaan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan aedes demi memastikan kejayaan ini kekal berterusan dan risiko penyebaran wabak denggi dapat diminimumkan.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619