AGENDA

Kes demam denggi meningkat, dua kematian direkodkan

27 Dis 2024, 12:00 PM
Kes demam denggi meningkat, dua kematian direkodkan

PUTRAJAYA, 27 DIS: Jumlah kes demam denggi meningkat kepada 1,407 kes pada Minggu Epidemiologi ke-51 (ME51), iaitu bagi tempoh 15 hingga 21 Dis lepas berbanding 1,384 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Dalam kenyataan mengenai situasi demam denggi di Malaysia hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME51.

Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME51 adalah sebanyak 121,082 kes berbanding 120,418 kes bagi tempoh sama pada 2023.

“Terdapat 116 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 96 kematian bagi tempoh yang sama pada 2023,” katanya.

Dr Muhammad Radzi berkata bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME51 ialah 18 lokaliti berbanding 27 pada minggu sebelumnya.

Daripada 18 lokaliti dilaporkan katanya, sembilan adalah di Selangor, Negeri Sembilan (empat), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (tiga) manakala masing-masing satu di Pahang dan Pulau Pinang.

Beliau berkata pergerakan masyarakat yang meningkat bersempena dengan musim cuti kini juga akan menyebabkan penyebaran jangkitan denggi menjadi mudah, justeru sangat penting untuk memastikan kawasan persekitaran bebas daripada tempat pembiakan nyamuk.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619