ad
ADN

Wakil rakyat negeri perlu pamer etika lebih tinggi, bukan sebar fitnah

2 Jan 2025, 9:07 AM
Wakil rakyat negeri perlu pamer etika lebih tinggi, bukan sebar fitnah

SHAH ALAM, 2 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Burong diingatkan untuk mempamerkan etika dan integriti yang lebih tinggi selaku wakil rakyat bukannya menjadi ejen penyebar fitnah.

Setiausaha politik Dato’ Menteri Besar berkata tindakan Dr Mohd Zambri Mohd Zainuldin sebagai pemimpin politik dan guru agama menyebar poster tidak benar mengenai perdana menteri di Facebook sangat memalukan.

“Menjadi kelaziman etika seorang pemimpin dapat menjadi kompas moral, memberikan batas yang jelas antara baik dan buruk seterusnya menjadi teladan bagi para pengikut dan orang-orang yang melihatnya.

“Walaupun pada akhirnya pentadbir akaun media sosial yang dipersalahkan demi melindungi ADN, namun ia tidak dapat menangkis fakta bahawa ketiadaan etika dan adab Mohd Zamri adalah satu hal yang mendukacitakan,” kata Saifuddin Shafi Muhammad menerusi Facebook.

Beliau menambah, Mohd Zamri perlu memohon maaf secara terbuka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengundi DUN Sungai Burong atas tindakan yang tidak mencermikan keperibadian sebagai seorang Muslim.

“Buktikan pimpinan PAS dan Perikatan Nasional (PN) bukan jaguh penyebar fitnah. Selangor merupakan negeri yang makmur dan berkebajikan bukan tempatnya untuk kepimpinan tidak beradab seperti ini,” katanya lagi.

Pada 30 Disember, aktivis Iswardy Morni didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di atas tuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong melalui Facebook tiga tahun lalu.

Terdahulu, hantaran di laman Facebook Mohd Zamri berkongsi sebuah poster menunjukkan kononnya Anwar bersolidariti terhadap Iswardy dengan menyifatkannya sebagai pemimpin yang lantang bersuara.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.