AGENDA

Menteri: Kehadiran calon SPM cecah 97 peratus setakat ini

2 Jan 2025, 4:26 AM
Menteri: Kehadiran calon SPM cecah 97 peratus setakat ini

PUTRAJAYA, 2 JAN: Peratusan kehadiran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 mencecah 97 peratus setakat ini, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) masih dalam proses mengemas kini memandangkan terdapat kira-kira 10,000 calon belum mengesahkan kehadiran.

"Kita (KPM) harap kehadiran ini dapat dipertingkatkan," katanya pada sidang media pengoperasian peperiksaan SPM 2024 di sini hari ini.

Fadhlina berkata terdapat calon berkeperluan khas di setiap negeri yang turut menduduki SPM termasuk dua calon berusia 63 tahun di Negeri Sembilan.

Beliau berkata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan, Ketua Setiausaha KPM Datuk Ruji Ubi serta pengarah Jabatan Pendidikan Negeri telah turun ke lapangan untuk memastikan kesiapsiagaan serta menjaga kebajikan calon termasuk yang menduduki peperiksaan di hospital dan pusat tahanan.

Fadhlina berkata KPM sedia mengaktifkan Op Payung sekiranya berlaku bencana banjir bagi membantu calon dan petugas peperiksaan yang terkesan.

Beliau berkata calon akan ditempatkan di asrama sekolah atau pusat pemindahan sementara dan bantuan logistik akan disalurkan kepada calon dan petugas peperiksaan untuk bergerak ke pusat peperiksaan.

"Enam negeri dikenal pasti berisiko banjir ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Johor dan Sabah," katanya.

Fadhlina berkata sebanyak 5,780 petugas peperiksaan dalam kalangan sukarelawan telah dilantik untuk membantu sepanjang tempoh peperiksaan SPM 2024.

Beliau berkata KPM mengambil perhatian penuh tentang persiapan dan pelantikan sukarelawan yang juga terdiri daripada pesara guru bagi mengelak kejadian kebocoran kertas peperiksaan.

Pelantikan sukarelawan, katanya mencapai hasrat KPM dengan sekurang-kurangnya 20 peratus di setiap negeri.

Peperiksaan bertulis SPM 2024 bermula hari ini dan berakhir pada 6 Feb dengan 402,956 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619