AGENDA

Kerajaan perkasa tenaga boleh diperbaharui, sasar capai pelepasan sifar bersih 2050

1 Jan 2025, 10:45 AM
Kerajaan perkasa tenaga boleh diperbaharui, sasar capai pelepasan sifar bersih 2050

PASIR MAS, 1 JAN: Kerajaan akan memperkasakan tenaga yang boleh diperbaharui sebagai langkah masa hadapan, kata Ketua Setiausaha Negara.

Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata usaha itu juga selaras dengan sasaran kerajaan untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Beliau berkata antara langkah ke hadapan, kerajaan ketika ini akan mementingkan 'renewable energy' iaitu tenaga yang boleh diperbaharui.

“Kita akan lebih tumpukan kepada itu, sebab kita punya sasaran ialah sifar bersih pada 2050. Oleh itu dalam persidangan ASEAN juga kita turut menekankan dan mementingkan mengenai kelestarian,” kata beliau kepada media pada Program Ihsan MADANI di Sekolah Kebangsaan Sri Rantau Panjang 2 di sini, hari ini.

Sementara itu, menerusi program berkenaan Shamsul Azri turut mengumumkan peruntukan RM10,000 kepada surau sekolah berkenaan, selepas mengalami kerosakan susulan bencana banjir baru-baru ini.

Pada program sama, beliau turut menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada 140 penerima terdiri daripada penduduk sekitar bandar Rantau Panjang dan juga Pasir Mas.

Sepanjang Monsun Timur Laut (bermula November sehingga Disember tahun lalu) seramai 38,446 Ketua Isi Rumah (KIR) ditempatkan di 315 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Kelantan sepanjang tempoh itu.

Sehingga hari ini, 683 KIR telah menerima BWI melibatkan peruntukan RM683,000.

Sehubungan dengan itu, kerajaan terus komited melunaskan bayaran BWI kepada semua KIR yang layak sebelum berakhir MTL 2024/2025, bagi meringankan beban mangsa banjir.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619