AGENDA

Duta Korea Selatan beri penghormatan kepada mangsa nahas Jeju Air

31 Dis 2024, 3:50 PM
Duta Korea Selatan beri penghormatan kepada mangsa nahas Jeju Air

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Duta Korea Selatan ke Malaysia, Yeo Seung-bae memberi penghormatan kepada mangsa nahas pesawat Jeju Air yang meletup dan terbakar selepas merempuh tembok konkrit kelmarin ketika cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, kira-kira 290 kilometer ke barat daya ibu kota Seoul.

Kedutaan Korea di Malaysia melalui hantaran di Facebook memuat naik gambar Yeo mengunjungi altar peringatan bersama yang diletakkan di K-Lounge, Persatuan Korea di Malaysia, di sini.

"Pada 31 Disember (Selasa), Duta Yeo Seung-bae melawat altar peringatan bersama yang diletakkan di K-Lounge, Persatuan Korea di Malaysia, bagi memberi penghormatan kepada mangsa nahas pesawat Jeju Air," menurut hantaran itu.

Altar peringatan itu, disediakan oleh Persatuan Korea di Malaysia untuk memperingati mangsa nahas Jeju Air, akan dibuka kepada orang awam di premis persatuan itu di Plaza Mont Kiara mulai 31 Disember hingga 3 Januari.

Altar berkenaan boleh dilawati setiap hari dari 10 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 5 petang, dengan pengunjung digalakkan bertafakur, meletakkan jambangan bunga, serta menandatangani buku tetamu.

Pesawat malang itu membawa 175 penumpang termasuk 173 rakyat Korea Selatan dan dua warga Thailand, serta enam kru penerbangan. Ia terhempas ketika cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan pada 9.07 pagi waktu tempatan, kelmarin.

Nahas itu meragut nyawa 179 daripada 181 orang di dalam pesawat berkenaan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619