AGENDA

Cuepacs: Jangan buat pinjaman tidak perlu susulan kenaikan gaji

26 Dis 2024, 9:00 AM
Cuepacs: Jangan buat pinjaman tidak perlu susulan kenaikan gaji

PUTRAJAYA, 26 DIS: Penjawat awam diingatkan agar tidak membuat pinjaman berlebihan atau bertindih yang tidak perlu susulan kenaikan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Abdul Rahman Mohd Nordin berkata SSPA seharusnya tidak dijadikan alasan untuk penjawat awam menambah pinjaman, yang akhirnya akan menambah beban kewangan.

"Jika ingin membuat pinjaman, ia seharusnya untuk tujuan yang memberi keuntungan pada masa hadapan, seperti pinjaman perumahan atau pendidikan anak-anak, bukan untuk membeli telefon bimbit dan sebagainya.

"Risikonya, penjawat awam mungkin akan menghadapi masalah kewangan," katanya pada program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.

Melalui SSPA yang berkuat kuasa pada 1 Dis, pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang memilih skim ini, akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berfasa. Fasa pertama, sebanyak lapan peratus, akan diberikan pada Disember 2024, manakala tujuh peratus lagi pada Fasa 2, Jan 2025.

Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) pula akan menerima pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus, dengan empat peratus bagi Fasa 1 dan tiga peratus bagi Fasa 2.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata pelaksanaan SSPA adalah tepat pada masanya memandangkan gaji penjawat awam sudah hampir 12 tahun tidak disemak, sedangkan kos sara hidup kian meningkat dalam tempoh tersebut.

"Apabila tidak disemak, ditambah dengan keadaan ekonomi semasa, ia membebankan dan mengusarkan penjawat awam kerana kos sara hidup yang tinggi, sehingga sukar untuk mencukupi perbelanjaan harian, termasuk untuk rumah," katanya.

Ditanya mengenai pandangan Cuepacs berkenaan 1,400 penjawat awam yang memilih untuk tidak menerima opsyen SSPA, beliau berkata perkara itu tidak dapat dielakkan dan Cuepacs menghormati keputusan tersebut.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619