AGENDA

PM gesa penjawat awam tingkat prestasi selaras pelaksanaan SSPA

2 Dis 2024, 2:20 AM
PM gesa penjawat awam tingkat prestasi selaras pelaksanaan SSPA

PUTRAJAYA, 2 DIS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa penjawat awam untuk meningkatkan prestasi selaras dengan kenaikan gaji yang bermula bulan ini, susulan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa semalam.

Beliau berkata prestasi cemerlang diperlukan memandangkan rakyat mengharapkan perkhidmatan yang lebih baik daripada sektor awam.

"Pelaksanaan SSPA bermula bulan ini, seperti yang dijanjikan. Tahniah kepada mereka yang menerima kenaikan gaji. Namun, seperti yang saya tekankan, kita setuju dengan ini (SSPA) kerana kita mengiktiraf dan menganggap ia wajar diberikan.

"Tetapi, saya hanya berharap agar saudara-saudara (penjawat awam) memastikan prestasi jauh lebih baik kerana rakyat menuntut perkhidmatan yang lebih berkualiti," katanya dalam perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar turut menyeru penjawat awam agar memberikan sokongan penuh kepada KSN yang telah mengambil beberapa langkah untuk merealisasikan reformasi perkhidmatan awam.

"Saya harap sokongan penuh diberikan kerana rakyat ingin melihat (reformasi) dilaksanakan di peringkat akar umbi, daerah dan kementerian," katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan yakin bahawa peningkatan prestasi itu boleh dicapai kerana keupayaan manusia boleh ditingkatkan melebihi apa yang telah dilaksanakan selama ini.

SSPA yang menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) memberi pelarasan gaji yang dijangka membawa kesan positif kepada kesejahteraan ekonomi penjawat awam, selain membuka peluang peningkatan kerjaya yang lebih baik dalam perkhidmatan awam.

Dengan pelarasan gaji dan pergerakan tahunan, pendapatan penjawat awam dijangka meningkat dalam julat 16.8 peratus hingga 42.7 peratus.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619