AGENDA

PM mahu lebih banyak produk pelancongan papar kisah legenda, sejarah tempatan

26 Dis 2024, 8:20 AM
PM mahu lebih banyak produk pelancongan papar kisah legenda, sejarah tempatan

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap lebih banyak inisiatif dilakukan dalam mengetengahkan kisah legenda tempatan dan sejarah tanah air sebagai tarikan pelancong ke Malaysia.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, yang disertakan gambar lawatan ke Dream Forest Langkawi di Pulau Langkawi, Kedah, Anwar berkata usaha ini perlu disemarakkan bagi memantapkan sektor pelancongan negara.

Beliau turut meluahkan kekaguman terhadap bakat kreatif yang ditonjolkan oleh Dream Forest Langkawi, yang mempamerkan keunikan Pulau Langkawi dengan cara yang sangat berkesan, selain memaparkan legenda dan mitos tempatan yang merupakan sebahagian daripada warisan negara.

"Saya berharap lebih banyak inisiatif seperti ini diwujud dan disemarakkan bagi memantapkan sektor pelancongan negara, di samping menghidupkan minat terhadap legenda dan sejarah tanah air.

"Langkawi bukan sahaja sebuah pulau yang indah, tetapi ia penuh dengan kisah dan warisan yang harus ditelaah dan dikaji oleh generasi kini dan akan datang," katanya.

Dalam hantaran sama, Anwar mengumumkan bahawa beliau telah menghubungi pemilik Dream Forest Langkawi Datin Seri Tiara Jacquelina Eu Abdullah dan suaminya, Tan Sri Mohd Effendi Norwawi, untuk menyampaikan penghargaan atas usaha mereka dalam merealisasikan inisiatif tersebut.

"Saya usulkan supaya juga ditambah dengan memberi gambaran hala tuju Langkawi dan teknologi baru," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619